Saturday 11 May 2013

PALSI SEREBRUM ( CEREBRAL PALSY ).

Palsi serebrum atau dipanggil cerebral palsy (CP) dalam bahasa Inggeris merupakan satu kategori ketidakupayaan perkembangan. Ia boleh berlaku semasa seseorang itu masih berada dalam kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam beberapa tahun pertama selepas dia dilahirkan.
Bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan. Bahagian-bahagian otak yang mengalami kerosakan itu tidak akan sembuh buat selama-lamanya tetapi tidaklah pula bertambah teruk.  Ini bermaksud kerosakan itu tidak akan sembuh. Jadi mereka akan mengalami masalah pergerakan badan.  Motor kasar dan motor halus mereka terjejas.  Kesukaran akan dialami semasa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, makan, mengurus diri, menulis dan sebagainya.   
Tiada dua individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidak upayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan boleh dikategori dari minima hingga ke sangat teruk. Individu yang berada pada tahap minima boleh menjalani kehidupan normal seperti biasa.  Pada tahap paling teruk,  individu perlu penjagaan sepanjang hari.  Pergantungannya terhadap  individu lain sangat tinggi hatta untuk bergerak dan makan.
Palsi serebrum terbahagi kepada tiga iaitu spastik (spastic), ataxia (ataxic) dan athetosis (athetoid).  Seseorang individu mungkin mengalami gabungan dua atau kesemua jenis palsi serebrum.  Mereka juga biasanya mengalami ketidakupayaan lain seperti masalah pertuturan, pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran, terencat akal, masalah tingkah laku, sawan dan masalah tumbesaran.
Individu palsi serebrum boleh menjalani fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan untuk membolehkan keadaan fizikal mereka menjadi bertambah baik.  Pengambilan ubat untuk mengurangkan ketegangan otot dan mengawal sawan, menjalani pembedahan untuk mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang tidak normal adalah cara menjadikan fizikal individu berkenaan bertambah baik.  Semua ini boleh dilakukan walaupun palsi serebral tidak dapat diubati. 

 







No comments:

Post a Comment