Saturday 11 May 2013

Mengapa menjadi guru Pendidikan Khas?

Tugas guru dalam dunia pendidikan adalah memberi perkhidmatan dan menyumbang dalam perkembangan individu.  Murid yang dididik menggunakan ilmu yang diperolehi untuk menghadapi cabaran baru dalam hidupnya.
Murid Pendidikan Khas juga tidak terkecuali dalam hal ini.  Mereka juga perlu ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan yang sesuai dengan tahap keupayaan dan kebolehan mereka.  Guru yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab ini ialah guru Pendidikan Khas.  
Bagi guru Pendidikan Khas, setiap hari adalah hari baru bagi mereka, iaitu hari yang penuh cabaran dan menyeronokkan.  Pengalaman mendidik murid Pendidikan Khas sukar dicari dalam bidang lain.  Guru dapat melihat nilai dan cabaran dalam  diri murid dan cara mereka berusaha mencapai perkara yang ditetapkan.  Guru akan merasa puas apabila melihat murid berjaya dan perasaan ini sukar digambarkan.  Hubungan guru dan murid menjadi rapat dan tiada garis pemisah antara guru dan murid.  
Ada beberapa sebab kita menjadi guru Pendidikan Khas:
  • Minat - guru berminat dan berasa bangga dapat menyumbang bakti dan tenaga pada murid Pendidikan Khas.
  • Cabaran baru - ingin mencuba perkara baru.  Mengajar murid biasa sudah tidak mencabar lagi dan ingin mencari kelainan.
  • Hubungan sebelumnya - kita mungkin mempunyai anggota keluarga atau pun jiran  yang tergolong daripada insan istimewa. Perasaan ingin membantu mendorong kita membuat keputusan terlibat dalam dunia Pendidikan Khas.
  • Balik 'kampung' - bidang Pendidikan Khas sering memerlukan tenaga pengajar.  Kita menggunakan peluang ini dengan alasan mengajar  murid Pendidikan Khas  supaya dapat 'balik kampung'.
  • Tiada pilihan - kita terpaksa menerimanya kerana bidang itu ditawarkan kepada mereka untuk memiliki ijazah sarjana muda atau pun menghadiri Kursus Perkhidmatan Lepasan Ijazah  (KPLI).  Sekiranya kita menolak, kita terlepas peluang!
  • Eskapisme - anggapan bidang ini agak mudah untuk diceburi supaya dapat 'mencuri tulang'. Walau apa pun alasan, ianya tidak penting.  Perkara utama, apabila kita telah berikrar menyumbang bakti kepada murid istimewa, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat negara.   

No comments:

Post a Comment