Sunday 12 May 2013

ASAS PERTOLONGAN CEMAS : SAWAN.




Seorang guru Pendidikan Khas perlu mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan menangani saat-saat kritikal.  Sekiranya berlaku sebarang masalah pada murid, bantuan awal dapat diberikan sebelum murid dihantar ke hospital. 
Berikut adalah beberapa perkara yang kita perlu lakukan sekiranya murid kita mengalami sawan kerana pada masa sawan, murid tidak sedarkan diri, badan menjadi kejang, tangan serta kaki dalam keadaan menyentak-nyentak.
  • Bertenang, usah panik.  Tarik nafas dan bersedia membantunya.
  • Elakkan murid tercedera apabila dia terjatuh atau terhoyong-hayang.  Pegang murid tetapi jangan terlalu kuat.
  • Jauhkan barang berbahaya atau kerusi dan meja yang berada di sekelilingnya.  
  • Jangan mengawal pergerakannya.  Biarkan serangan sawan itu berlaku.
  • Longgarkan pakaiannya.  Tanggal cermin mata atau tali leher.
  • Lindungi kepalanya daripada terhantuk dan tercedera.
  • Baringkan badannya mengiring supaya murid dapat udara di samping memudahkan pengaliran air liur dan cecair dalam mulutnya
  • Elakkan orang ramai mengerumuninya
  • Jangan cuba gerakkan dia dengan cara menggoncang ataupun mengurut badannya.
  • Sekiranya dia tertidur selepas sawan, biarkan dan jangan ganggu sehingga dia sedar kembali. 
  • Kadangkala murid membuang air kecil semasa sawan.
  • Berikan dia masa untuk pulih seperti sedia kala.  Sesetengah daripada mereka keliru dan tidak sedar apabila pulih daripada  serangan sawan.
  • Elakkan kekecohan.  Terlalu memberi tumpuan menyebabkan murid malu dan serangan sawan berulang.
  • Perhatikan pergerakan atau tingkah laku yang berbeza.
  • Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan.
  • Kita perlu bersamanya sehingga murid pulih daripada sawan.
  • Sawan sepatutya berhenti dalam tempoh 10 minit.
  • Apabila murid sedar, bercakap dengan lembut dan tenang kerana murid masih keliru dan tidak sedar dia diserang sawan.
  • Aktiviti normal perlu diteruskan selepas murid sedar daripada sawan.  Murid boleh dihantar pulang selepas sedar daripada sawan.
  •  Hubungi keluarganya apabila murid diserang sawan. 
       Rawatan perubatan tidak diperlukan  melainkan:
  1. Ia merupakan serangan sawan kali pertama bagi murid.
  2. Murid memerlukan rawatan bagi kecederaan yang dialami semasa serangan sawan.
  3. Sawan itu mengambil masa yang lama untuk pulih ataupun kanak-kanak lain turut diserang sawan.
  4. Sawan berulang-ulang.
       Walaupun sawan hanya berlaku beberapa minit, murid mengalami sakit kepala selama 
       sejam  atau  lebih.  Ada juga murid yang tahu dan sedar dia diserang sawan. Kita   
       hanya perlu  berhati-hati.  Murid yang sering mendapat sawan dinasihatkan supaya 
       mengelakkan berjemur panas atau terlalu lama berada di dalam bilik berhawa dingin.  









Sabar, sabar dan sabar...

Sabar menurut bahasa bererti menahan dan mengekang.Manakala Menurut syariat Islam pula bermaksud tabah menghadapi sesuatu keadaan yang tidak disenangi oleh manusia serta rela menyerah diri kepada Allah dan tidak pernah mengenal putus asa.  Perkataan sabar, sabar dan sabar mesti dimasukkan dalam kamus guru yang mengajar di Pendidikan Khas.  Inilah kata kunci yang boleh membawa kejayaan dalam seorang guru Pendidikan Khas.  
Kita perlu tanamkan diingatan bahawa insan kerdil yang bergelar murid Pendidikan Khas adalah anugerah Allah yang dilahirkan ke dunia ini dengan misi yang ditentukan.  Bukankah mereka menjadi alat menguji kesabaran kita?  Bagaimana cara kita melayan mereka, memandang mereka dan cara kita mendidik mereka?  
Setiap tindakan dan langkah yang kita ambil akan disoal di akhirat kelak.  Kita bertanggungjawab terhadap segala tindakan kita.  Sekiranya kita memandang rendah kepada murid istimewa ini, Tuhan juga memandang rendah kepada kita.  
Dalam Islam, sabar ialah separuh daripada iman.  Orang yang tidak sabar mempunyai iman yang lemahTahap sabar dalam diri kita menggambarkan siapakah diri kita yang sebenarnya.

Saturday 11 May 2013

PALSI SEREBRUM ( CEREBRAL PALSY ).

Palsi serebrum atau dipanggil cerebral palsy (CP) dalam bahasa Inggeris merupakan satu kategori ketidakupayaan perkembangan. Ia boleh berlaku semasa seseorang itu masih berada dalam kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam beberapa tahun pertama selepas dia dilahirkan.
Bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan. Bahagian-bahagian otak yang mengalami kerosakan itu tidak akan sembuh buat selama-lamanya tetapi tidaklah pula bertambah teruk.  Ini bermaksud kerosakan itu tidak akan sembuh. Jadi mereka akan mengalami masalah pergerakan badan.  Motor kasar dan motor halus mereka terjejas.  Kesukaran akan dialami semasa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, makan, mengurus diri, menulis dan sebagainya.   
Tiada dua individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidak upayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan boleh dikategori dari minima hingga ke sangat teruk. Individu yang berada pada tahap minima boleh menjalani kehidupan normal seperti biasa.  Pada tahap paling teruk,  individu perlu penjagaan sepanjang hari.  Pergantungannya terhadap  individu lain sangat tinggi hatta untuk bergerak dan makan.
Palsi serebrum terbahagi kepada tiga iaitu spastik (spastic), ataxia (ataxic) dan athetosis (athetoid).  Seseorang individu mungkin mengalami gabungan dua atau kesemua jenis palsi serebrum.  Mereka juga biasanya mengalami ketidakupayaan lain seperti masalah pertuturan, pendengaran, penglihatan, masalah pembelajaran, terencat akal, masalah tingkah laku, sawan dan masalah tumbesaran.
Individu palsi serebrum boleh menjalani fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan untuk membolehkan keadaan fizikal mereka menjadi bertambah baik.  Pengambilan ubat untuk mengurangkan ketegangan otot dan mengawal sawan, menjalani pembedahan untuk mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang tidak normal adalah cara menjadikan fizikal individu berkenaan bertambah baik.  Semua ini boleh dilakukan walaupun palsi serebral tidak dapat diubati. 

 







'Dunia Pendidikan Khas dunia menyeronokkan'.

Dunia Pendidikan Khas menjanjikan perkara yang menggembirakan dan menyeronokkan kita.  Ianya pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.  Kita mungkin hanya pernah menjenguk program Pendidikan Khas yang berada di sekolah kita tanpa mengetahui realiti dunia Pendidikan Khas.  Kita mungkin juga pernah melihat anak jiran  yang tergolong dalam golongan anak istimewa.  Apabila kita telah berada di dalam dunia Pendidikan Khas, kita akan melihat realiti dunia tersebut...
Perkara-perkara berikut adalah sedikit  pengalaman saya selama berada dan mengajar murid Pendidikan Khas:
  1. 'Sayang cikgu!'- Saya menjadi guru kesayangan mereka.  Setiap kali tiba waktu Pendidikan Seni Visual, murid akan bersorak, 'yeay...cikgu datang'.  Mereka tidak lokek tenaga membantu mengangkat peralatan yang saya gunakan untuk mata pelajaran tersebut.  Walau pun hasil seni mereka tidak seberapa, saya akan melayan mereka dan memuji keupayaan mereka mencuba bakat di bidang seni.  Walau pun ada yang sukar dikawal, aktiviti seni akan tetap berakhir dengan hasil seni murid yang sedia untuk dijemur diterik mentari! 
  2. 'Cikgu dah makan' - setiap kali saya tidak ke kantin atau sedikit lewat ke kantin, Danish akan datang menghampiri pintu grill di meja saya dan menyapa, 'Cikgu, apa tak makan lagi, tak pergi kantin ke...Lalu saya akan menjawab,'Cikgu ada sedikit kerja yang perlu disiapkan dan akan makan setelah selesai kerja'. Situasi ini akan berulang jika saya tidak ke kantin pada waktu rehat.  Betapa dia prihatin terhadap saya, walau pun saya tidak masuk mengajar ke kelasnya pada tahun ini.
          Begitulah realiti yang saya lalui setiap hari di kelas Pendidikan Khas.  Ada banyak lagi
          kenangan pahit manis yang terpahat di sanubari.  Hanya Tuhan yang tahu betapa tersentuhnya
          hati dikelilingi insan-insan istimewa ini.

Mengapa menjadi guru Pendidikan Khas?

Tugas guru dalam dunia pendidikan adalah memberi perkhidmatan dan menyumbang dalam perkembangan individu.  Murid yang dididik menggunakan ilmu yang diperolehi untuk menghadapi cabaran baru dalam hidupnya.
Murid Pendidikan Khas juga tidak terkecuali dalam hal ini.  Mereka juga perlu ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan yang sesuai dengan tahap keupayaan dan kebolehan mereka.  Guru yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab ini ialah guru Pendidikan Khas.  
Bagi guru Pendidikan Khas, setiap hari adalah hari baru bagi mereka, iaitu hari yang penuh cabaran dan menyeronokkan.  Pengalaman mendidik murid Pendidikan Khas sukar dicari dalam bidang lain.  Guru dapat melihat nilai dan cabaran dalam  diri murid dan cara mereka berusaha mencapai perkara yang ditetapkan.  Guru akan merasa puas apabila melihat murid berjaya dan perasaan ini sukar digambarkan.  Hubungan guru dan murid menjadi rapat dan tiada garis pemisah antara guru dan murid.  
Ada beberapa sebab kita menjadi guru Pendidikan Khas:
  • Minat - guru berminat dan berasa bangga dapat menyumbang bakti dan tenaga pada murid Pendidikan Khas.
  • Cabaran baru - ingin mencuba perkara baru.  Mengajar murid biasa sudah tidak mencabar lagi dan ingin mencari kelainan.
  • Hubungan sebelumnya - kita mungkin mempunyai anggota keluarga atau pun jiran  yang tergolong daripada insan istimewa. Perasaan ingin membantu mendorong kita membuat keputusan terlibat dalam dunia Pendidikan Khas.
  • Balik 'kampung' - bidang Pendidikan Khas sering memerlukan tenaga pengajar.  Kita menggunakan peluang ini dengan alasan mengajar  murid Pendidikan Khas  supaya dapat 'balik kampung'.
  • Tiada pilihan - kita terpaksa menerimanya kerana bidang itu ditawarkan kepada mereka untuk memiliki ijazah sarjana muda atau pun menghadiri Kursus Perkhidmatan Lepasan Ijazah  (KPLI).  Sekiranya kita menolak, kita terlepas peluang!
  • Eskapisme - anggapan bidang ini agak mudah untuk diceburi supaya dapat 'mencuri tulang'. Walau apa pun alasan, ianya tidak penting.  Perkara utama, apabila kita telah berikrar menyumbang bakti kepada murid istimewa, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat negara.   

Saturday 4 May 2013

Kategori Murid Pendidikan Khas



CIRI-CIRI MURID PPKI MENGIKUT KATEGORI

SINDROM DOWN 

            


Sindrom Down atau trisomy 21 merupakan kecacatan genetik disebabkan oleh kehadiran sebahagian atau kesemua kromosom 21.

Ciri-ciri
  1. bukaan mata bujur dengan lipatan kulit epikhantik pada sudut dalam mata
  2. hipotonia otot (poor muscle tone)
  3. batang hidung leper
  4. satu garis di tapak tangan (juga dikenali sebagai garis simian)
  5. lidah terjulur (disebabkan rongga mulut kecil, dan lidah membengkak berhampiran tonsil)
  6. leher pendek
  7. tompok putih pada iris dikenali sebagai tompok Brushfield
  8. lentur melampau pada sendi
  9. kecacatan jantung kongenital
  10. jarak melampau antara ibu jari kaki dengan jari berikutnya

AUTISME 


Autisma  bermaksud ketidakupayaan seseorang kanak-kanak memahami perkara-perkara di sekelilingnya selain dirinya sendiri. Autisma juga menyebabkan perkembangan diri kanak-kanak menjadi tidak menentu. Peringkat awal autisma boleh dikesan pada awal usia kelahiran ataupun sekurang-kurangnya pada peringkat umur yang awal.Tiada ubat dalam masalah autisma kerana ia bukan sejenis penyakit tetapi dengan program pendidikan yang bersesuaian, masalah ini dapat dikurangkan.Autisma  melibatkan orang dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, jantina, bangsa, atau taraf ekonomi. 

Ciri-ciri

1.      Pola perlakuan yang unik :
  • Penerimaan deria yang aneh.
  • Sering membuang masa kepada sesuatu objek yang tidak diketahui fungsinya dan gemar memutar-mutar barang sambil berkhayal.
  • Terlalu menyayangi sesuatu objek sehingga sukar dipisahkan daripadanya.
  • Rutin harian yang dirancang secara detail.
2.      Masalah perhubungan dengan orang di sekeliling :
  • Tempoh masa untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara amat singkat dan tidak berminat dengan kemahiran yang diajar.
  • Suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang dan hanya akan berhenti apabila ditegur.
  • Suka bersendirian dan menganggap manusia sebagai objek dan hanya berinteraksi bila di dekati dengan cara-cara tertentu dan dengan individu yang disukai.
  • Tidak mahu bertentang mata sewaktu bercakap seolah-olah mereka melihat menembusinya.
3.      Gemar memeriksa anggota badan seperti kaki dan tangan seolah-olah benda itu baru dan pelik

4.      Mengalami masalah pertuturan :
  • Sering mengulangi soalan yang diajukan.
  • Suka meniru percakapan orang lain.
  • Kadangkala menggunakan suara yang luarbiasa untuk menuturkan sesuatu perkataan.
5.      Sikap atau perasaan yang ganjil dan tidak normal :
  • Meletuskan kemarahan yang amat sangat atau mengamuk dan disusuli dengan perlakuan agresif.
  • Ianya berlaku tanpa sebab atau kerana kehilangan sesuatu objek yang disayangi atau dilarang dari melakukan sesuatu perkara yang mereka mahu.
  • Mengilai, menangis dan ketawa secara tiba-tiba.
  • Tidak tahu erti bahaya dan gemar melakukan sesuatu yang merbahaya.
6.      Intelek yang luar biasa walaupun autisma :
  • Mereka meminati matapelajaran Matematik.
  • Gemarkan permainan seperti ‘Jigsaw Puzzles’.
  • Suka menyanyi atau mengingati lirik lagu serta suka mendengar semua jenis muzik.
  • Boleh menghafal senarai nombor telefon, tarikh, nama, sajak, dan sebagainya.
  • Mempunyai kemahiran mekenikal yang luar biasa.
     7.   Tidak suka kepada perubahan dan sangat susah untuk mengubah sesuatu rutin. 

DISLEKSIA



Disleksia bermaksud kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar, dan bercakap. Murid disleksia bukannya mengalami kecacatan pada mata atau fizikal tetapi mereka mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik.

Ciri-ciri
  1. Keliru dengan arah kiri dan kanan.
  2. Gemar berkhayal, menangis dan ketawa secara tiba-tiba.
  3. Taksub kepada sesuatu objek dan gemar memutar-mutar barang sambil berkhayal.
  4. Tempoh masa untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara amat singkat.
  5. Lambat bertutur dan sukar memahami arahan.
  6. Sukar mengikut arahan lisan yang panjang.
  7. Kesukaran menyalin semula nota yang diberi.
  8. Keliru dengan nombor-nombor.
  9. Kemahiran motor yang lemah. Cth :sukar memegang alat tulis dengan tangan dominan, dan sering terlanggar barang di sekitar.
  10. Sifat ingin tahu yang tinggi, berminat terhadap perkara baru dan suka bertanya secara berulang-ulang.
  11. Kurang keyakinan diri dan menghadapi tekanan jiwa.
  12. Tidak mempunyai ramai kawan kerana kurang kemahiran bersosial dan sukar bergaul.
  13. Kelakuan dan sikap yang tidak konsisten.
  14. Gemar menggigit jari dan merenung buku seolah-olah tidak faham. 
ATTENTION DEFICIT HYPERACTIVITY DISORDER (HIPERAKTIF)



Hiperaktif  merujuk kepada tingkah laku kanak-kanak yang terlampau lasak, aktif, nakal, agresif dan keadaannya tidak menentu jika dibandingkan dengan tahap pencapaian kanak-kanak normal. Kecelaruan tingkah laku ini kerap berlaku kepada kanak-kanak yang berumur 8 tahun dan akan berkurang secara beransur-ansur apabila mereka meningkat dewasa. Hiperaktif dapat dikurangkan dengan bantuan ubat tetapi hanya untuk tempoh masa yang sementara.

Ciri-ciri
  1. Bersikap agresif serta tidak dapat duduk diam walaupun sekejap.
  2. Gemar merayau-rayau dan menganggu rakan-rakan lain.
  3. Sukar memberi tumpuan kerana sikapnya yang tidak boleh duduk diam.
  4. Mudah tertarik untuk melakukan sesuatu perbuatan seperti berlari dan memanjat serta gemar meniru perlakuan orang lain.
  5. Dapat melakukan setuatu  kerja dengan pantas tetapi terburu-buru.
  6. Bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu akibat dari tindakan mereka.
  7. Bersikap keras kepala dan tidak mahu mendengar nasihat.
  8. Bertindak mengikut perasaan sehingga boleh mencederakan diri dan orang lain.
  9. Sukar memberi tumpuan dan gemar membuat bising.
  10. Suka mendahului orang lain dalam apa jua situasi terutama sewaktu bermain.
  11. Sanggup bergaduh untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.
  12. Bersikap negatif seperti suka mencuri, bercakap bohong dan suka merosakkan barang orang lain.
LEMBAM/SLOW LEARNER



Lembam bermaksud lembap, tidak cergas, lemah (kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran atau menerima pelajaran). Murid lembam mempunyai tahap keupayaan intelek sederhana atau kurang sedikit berbanding intelek murid normal. Mereka mempunyai kebolehan melihat tetapi kekurangan kemahiran menerima, mengurus, menyusun, menyimpan, dan mengingat dengan berkesan.

Ciri-ciri
  1. Bermasalah mengenal bentuk huruf.
  2. Bermasalah menyebut bunyi huruf dengan tepat.
  3. Menyebut atau membunyikan sesuatu bunyi huruf dengan perlahan.
  4. Menutup muka dengan buku sewaktu belajar.
  5. Membaca setiap perenggan terlalu lama.
  6. Ejaan perkataan seringkali salah.
  7. Menulis perkataan terlalu rapat, kecil, condong.
  8. Jarak antara perkataan yang ditulis terlalu jauh.
  9. Lambat sewaktu menulis.
  10. Huruf dan perkataan ditulis tinggi atau rendah dan tidak seragam.
  11. Mempunyai konsep kendiri rendah.
  12. Masa menumpukan perhatian terhadap pelajaran sangat singkat dan perhatian mudah dialihkan oleh rangsangan luar.
  13. Hanya boleh mengikut pelajaran atau arahan yang ringkas dan jelas sahaja.

Persembahan kanak- kanak istimewa